Monday, August 10, 2009

Anak Bapak - Jejakmu diikuti



10 Ogos 2009 Hari ini saya nak ucapkan Selamat Hari Lahir kepada anak sulung saya . Dah 25 tahun pun umornya. Rezki melimpah Allah kurniakan kerana hari ni juga saya hantar beliau ke Pulapol untuk menjalani latihan sebagai seorang anggota Polis di Pulapol Kuala Lumpur.

Disamping itu saya juga begitu gembira kerana minggu depan anak saya yang kedua akan menamatkan latihan di Pulapol Muar. Insyaallah jika diizinkan Allah saya bersama isteri dan anak-anak yang lain akan bersama-sama menyaksi upacara tamat latihan yang akan disempurnakan oleh YDH Dato Abd Razak Bokhari Pengarah Pengurusan PDRM.

Saya bangga kerana kedua-dua anak lelaki saya telah berjaya mengikut jejak langkah saya dan isteri untuk berkhidmat didalam Pasukan PDRM. Semuga kedua-dua mereka akan mencapai kejayaan yang gemilang didalam kerjaya masing-masing.

Sebagai seorang bapa yang telah mengharungi kehidupan lebih 30 tahun dalam pasukan, saya tahu pahit getir yang akan ditempuhi oleh anak-anak saya. Walau pun pada mulanya saya tidak mahu mengizinkan anak-anak saya menceburi kerjaya polis , tetapi atas kehendak mereka sendiri, yang amat berminat untuk mencurahkan bakti kepada Masyarakat. Dan diatas kesanggupan mereka meninggalkan kerjaya masing-masing yang lebih baik untuk memasuki PDRM saya rela hati melepaskan mereka menjalani latihan demi menjadi seorang anggota Polis.

Pesan saya kepada anak-anak saya itu " Kalau menggenggam bara , biar sampai jadi arang". "Alang-Alang menyeluk pekasam biar sampai pergelangan lengan" . Jangan pula mereka lupa perjuangan Melayu dengan ingat kepada pepatah "Biar putih tulang , jangan putih mata".